Bukit Kayu Hitam, ICD, Penang Port jalin kerjasama strategik kukuh perdagangan rentas sempadan

21 MAY 2025, BY DagangNews

PP_BKH_ICD_tingkat_kecekapan_logistik_di_utara_Malaysia_v1.jpg

KUALA LUMPUR 21 Mei -
Bukit Kayu Hitam ICD Sdn. Bhd. (BKH ICD) dan Penang Port Sdn. Bhd. (Penang Port) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memacu kemajuan serta membuka peluang baharu dalam rangkaian logistik.

 

BKH ICD dan Penang Port memeterai MoU pada 14 Mei untuk bekerjasama sebagai fasilitator perdagangan rentas sempadan di sempadan Malaysia-Thailand selaku pintu masuk pelabuhan utama di utara.

 

MoU itu bertujuan memanfaatkan kekuatan dan kepakaran kedua-dua pihak bagi meningkatkan aliran barangan, menyelaras proses, dan menambah nilai kepada perniagaan yang merentasi atau melalui Utara Semenanjung.

 

Penang Port yang merupakan anggota MMC Group berkata, pihaknya bersama-sama BKH ICD berhasrat untuk mewujudkan rantaian nilai logistik yang lebih berintegrasi dan responsif melalui kerjasama yang lebih erat.

 

"Antara manfaat yang disasar termasuk masa transit lebih singkat, operasi lebih cekap, dan pembangunan rumusan inovatif bagi memenuhi keperluan komuniti perdagangan yang kian berkembang.

 

"MoU ini menjadi landasan kepada kerjasama jangka panjang dengan fokus kepada penerokaan peluang baharu dan perkongsian kepakaran secara berterusan.

 

Ia menekankan visi bersama ke arah sistem logistik yang lebih efisien dan saling terhubung di Utara Malaysia, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi rantau ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Kedua-dua pihak akan kekal mengurus operasi masing-masing dan terbuka untuk menjalin kerjasama lain, sejajar usaha membentuk ekosistem perdagangan yang lebih dinamik dan berdaya saing.- DagangNews.com

Sumber: https://www.dagangnews.com/index.php/article/terkini/bukit-kayu-hitam-icd-penang-port-jalin-kerjasama-strategik-kukuh-perdagangan-rentas-sempadan-52217

 

 Back