MTT perluas perniagaan kargo ke Pulau Pinang

11 JUNE 2015, BY http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/mtt-perluas-perniagaan-kargo-ke- pulau-pinang-1.101763
BUTTERWORTH 11 Jun – Kumpulan Syarikat MTT memperluaskan perniagaan mereka dalam bidang perkapalan kargo selepas berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang melalui kapal terbaharu mereka MTT Pulau Pinang.

Kapal itu akan menyertai lima lagi kapal milik MTT iaitu MTT Tawau; MTT Muara; MTT Port Klang; MTT Kinabalu dan MTT Kuching untuk mengangkut barangan dari Pelabuhan Pulau Pinang ke Malaysia Timur.

MTT Pulau Pinang adalah kapal kontena buatan Jepun dengan kapasiti 1,157 kontena TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) yang merupakan kapal kontena terbesar dimiliki dalam laluan Barat-Malaysia Timur.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MTT, Datuk Kenny Ong Kuan Lee berkata, sehingga kini menerusi anak syarikatnya, MTT Shipping Sdn. Bhd., syarikat itu beroperasi dengan lapan kapal dengan dua daripadanya disewa.

“Namun pada Julai dan Ogos ini, kita akan menggantikan dua kapal yang disewa itu dengan kapal baharu yang akan memperkemaskan lagi operasi syarikat.

“Sehingga kini kami berupaya mengendalikan lebih 10,000 kontena TEU setiap bulan menggunakan lapan kapal yang ada,” katanya kepada pemberita di Terminal Kargo Butterworth Utara, di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas pelancaran kapal MTT Pulau Pinang yang disempurnakan Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Chua Soi Lek.

Yang turut hadir, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Sidik Shaik Osman dan Pengarah Urusan MTT Shipping Sdn. Bhd., Ooi Lean Hin.

Tambah Kuan Lee, dalam tempoh empat tahun setengah, syarikat itu bukan sahaja menjadi operator domestik terbesar tetapi juga operator kontena terbesar di Malaysia selain berada pada kedudukan ke-70 di dunia oleh Alphaliner.

Sementara itu, Soi Lek berkata, kapal MTT Pulau Pinang itu akan membuka ruang lebih luas dalam bidang perdagangan antara Pelabuhan Pulau Pinang dan Malaysia Timur.

Menurutnya, usaha itu akan merancakkan lagi kerjasama antara sektor industri di negeri ini dan meningkatkan kemasukan kargo ke pelabuhan tersebut.

 

 Back