Perkhidmatan feri untuk motosikal, basikal dihenti sementara

15 DECEMBER 2022, BY Harian Metro

Butterworth: Perkhidmatan feri untuk kenderaan beroda dua iaitu motosikal dan basikal akan dihentikan sementara bermula 1 Januari depan bagi memberi laluan kerja-kerja menaik taraf dermaga di terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), di sini dan Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU), George Town.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Tan Teik Cheng berkata, proses menaik taraf itu mengambil masa selama tujuh bulan merangkumi penggantian pelantar laluan dan pemasangan ponton terapung untuk disesuaikan dengan spesifikasi feri baharu.

"Sepanjang tempoh itu, perkhidmatan feri kenderaan beroda dua dihentikan namun perkhidmatan feri berulang alik dari PSAH dan Terminal Swettenham Pier Cruise (SPCT) untuk penumpang pejalan kaki masih diteruskan dan sebanyak 200 slot parkir berbumbung bagi motosikal serta basikal secara percuma disediakan di PSAH dan SPCT.

"Kerja-kerja naik taraf membabitkan kos kira-kira RM19 juta itu turut melibatkan proses memasak cerucuk di dasar kaut bagi mengukuhkan lagi ponton terapung dan proses tersebut akan mengambil sedikit masa memandangkan ia berisiko tinggi.

"Saya percaya apabila kerja-kerja menaik taraf kedua-dua terminal siap kelak dan seiring dengan pengenalan feri baharu di perairan Pulau Pinang, penduduk di sini dapat menikmati perkhidmatan feri yang moden, selesa, cepat serta efisen," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Zairil Khir Johari ke PSAH, di sini hari ini.

Tan berkata, bagi terminal feri PSAH, ruangan menunggu pengguna motosikal sedia ada telah diubah menjadi kawasan meletak motosikal dan basikal manakala pengguna dari arah George Town, ruangan meletak kenderaan SPCT disediakan di kawasan gudang, laluan masuk Jalan Tun Syeh Barakbah.

Katanya kawasan meletak motosikal dan basikal itu dibuka sepanjang operasi perkhidmatan feri iaitu bermula dari pukul 6 pagi hingga 9 malam dan dengan kemudahan tersebut pengguna kenderaan dua roda berkenaan dapat meneruskan perjalanan menyeberang dengan menggunakan perkhidmatan bot laju lebih pantas iaitu melibatkan perjalanan kurang 10 minit.

Sementara itu, Zairil berkata, kedua-dua terminal feri tersebut dilengkapi dengan stesen bas henti-henti Rapid Penang yang memudahkan pengerakan pengguna feri sebaik sahaja tiba malah kerajaan negeri nersama Rapid Penang juga akan melancarkan bas CAT Bridge baharu yang percuma dari Bukit Mertajam Summit melalui Bandar Perda ke bahagian Pulau negeri itu bermula 1 Jan nanti.

"Pemberhentian sementara untuk perkhidmatan penunggang motosikal dan basikal ini tidak dapat dielakkan dan kita faham 400 hingga 500 pengguna setiap hari akan terkesan sebab itu kami sediakan beberapa alternatif kepada mereka antaranya bas CAT Bridge ke bahagian pulau, kawasan parkir berbumbung kawasan jeti dan menaiki bot laju secara percuma.

"Perkhidmatan bas CAT Bridge yang sedia ada dari Seberang Jaya ke bahagian pulau tetap diteruskan seperti biasa, kedua-duanya disediakan kepada komuter dan penunggang motosikal serta basikal bagi tujuan penyeberangan," katanya.

bfqtlyGQ6BM5e8OFH-0oEHM6awiHH7S7nw-(1).pngPANGKALAN Sultan Abdul Halim (PSAH) Butterworth dinaik taraf untuk perkhidmatan yang lebih baik dan selesa. FOTO Danial Saad.

Sumber : Perkhidmatan feri untuk motosikal, basikal dihenti sementara [METROTV] (hmetro.com.my)

 

 Back