Khidmat feri Pulau Pinang untuk motosikal, basikal henti sementara 1 Januari

15 DECEMBER 2022, BY Berita Harian Online

zGpDPNZBMxh6tsTVfStJmCj2Hbf1SqI8Jw-(2).jpg
Perkhidmatan feri untuk motosikal dan basikal akan dihentikan sementara bermula 1 Januari bagi memberi laluan kerja naik taraf dermaga. - BERNAMA

BUTTERWORTH: Perkhidmatan feri untuk motosikal dan basikal akan dihentikan sementara bermula 1 Januari depan bagi memberi laluan kerja menaik taraf dermaga di terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), di sini dan Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di George Town.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng, berkata proses menaik taraf itu mengambil masa tujuh bulan merangkumi penggantian pelantar laluan dan pemasangan ponton terapung untuk disesuaikan dengan spesifikasi feri baharu.

"Sepanjang tempoh itu, perkhidmatan feri kenderaan beroda dua dihentikan, namun perkhidmatan feri berulang alik dari PSAH dan Terminal Swettenham Pier Cruise (SPCT) untuk penumpang pejalan kaki masih diteruskan.

"Sebanyak 200 slot parkir berbumbung bagi motosikal serta basikal secara percuma disediakan di PSAH dan SPCT," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari ke PSAH hari ini.

Mengulas kerja naik taraf itu, Teik Cheng berkata, ia membabitkan kos kira-kira RM19 juta dan turut meliputi proses memasang cerucuk di dasar laut bagi mengukuhkan lagi ponton terapung.

Proses itu, katanya akan mengambil sedikit masa memandangkan ia berisiko tinggi.

"Saya percaya apabila kerja menaik taraf kedua-dua terminal siap kelak dan seiring pengenalan feri baharu di perairan Pulau Pinang, penduduk di sini dapat menikmati perkhidmatan feri yang moden, selesa, cepat serta efisyen," katanya.

Teik Cheng berkata, bagi terminal feri PSAH, ruangan menunggu pengguna motosikal sedia ada diubah menjadi kawasan meletak motosikal dan basikal.

Untuk pengguna dari arah George Town pula, katanya, ruangan meletak kenderaan SPCT disediakan di kawasan gudang, laluan masuk Jalan Tun Syeh Barakbah.

"Kawasan meletak motosikal dan basikal itu dibuka sepanjang operasi perkhidmatan feri iaitu bermula jam 6 pagi hingga 9 malam dan dengan kemudahan itu, pengguna kenderaan dua roda berkenaan dapat meneruskan perjalanan menyeberang dengan menggunakan perkhidmatan bot laju lebih pantas iaitu membabitkan perjalanan kira-kira 10 minit," katanya.

hWLrj8vW93UeVnfxweA1ODLtmt2H6QVFdA.png
Teik Cheng (kanan) bersama Zairil Khir berbual bersama pengguna feri ketika melakukan lawatan di terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) hari ini. - BERNAMA

Sementara itu, Zairil berkata kedua-dua terminal feri terbabit dilengkapi stesen bas henti-henti Rapid Penang yang memudahkan pergerakan pengguna feri sebaik tiba.

Malah, katanya, kerajaan negeri bersama Rapid Penang akan melancarkan bas CAT Bridge baharu yang percuma dari Bukit Mertajam Summit melalui Bandar Perda ke bahagian Pulau negeri itu bermula 1 Januari nanti.

"Pemberhentian sementara untuk perkhidmatan penunggang motosikal dan basikal ini tidak dapat dielakkan dan kita faham 400 hingga 500 pengguna setiap hari akan terkesan.

"Sebab itu kami sediakan beberapa alternatif kepada mereka antaranya bas CAT Bridge ke bahagian pulau, kawasan parkir berbumbung kawasan jeti dan menaiki bot laju secara percuma.

"Perkhidmatan bas CAT Bridge sedia ada dari Seberang Jaya ke bahagian pulau tetap diteruskan seperti biasa, kedua-duanya disediakan kepada komuter dan penunggang motosikal serta basikal bagi tujuan penyeberangan," katanya. – BERNAMA

Sumber : Khidmat feri Pulau Pinang untuk motosikal, basikal henti sementara 1 Januari (bharian.com.my)

 

 Back