Home / Media Center / Announcements / February 2021 / PENANG PORT INGIN TEROKA PASARAN PEMUNGGAHAN DI TELUK BENGGALA
PENANG PORT INGIN TEROKA PASARAN PEMUNGGAHAN DI TELUK BENGGALA
08 FEBRUARY 2021, BY
Penang Port ingin teroka pasaran pemunggahan di Teluk Benggala
GEORGE TOWN, 8 Feb -- Penang Port Sdn Bhd (Penang Port) menyasarkan untuk memanfaatkan status baharu Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) sebagai Zon Perdagangan Bebas (FCZ) untuk meneroka pasaran Teluk Benggala.
Penang Port berkata pewartaan NCBT sebagai FCZ akan membolehkannya meneroka pasaran Teluk Benggala dengan melaksanakan aktiviti pemindahan untuk kontena antara Teluk Benggala dan Timur Jauh.
“Dalam masa terdekat ini, rancangan Penang Port ialah menghubungkan operator penghantar di Teluk Benggala dengan operator saluran utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, status baharu FCZ bukan sahaja dapat menarik lebih banyak trafik ke NBCT dan meningkatkan peluang pekerjaan, malah ia dapat dimanfaatkan untuk menarik minat pelabur di seluruh dunia bagi melaksanakan aktiviti nilai tambah seperti pukal pecah, penggredan, pembungkusan semula, pelabelan semula, pemindahan dan eksport semula.
Malah, menurut Penang Port, syarikat asing boleh menggunakan kemudahan NBCT sebelum mengeksport produk mereka ke luar negara, sekali gus memanfaatkan Penang Port untuk jangka panjang dengan pengecualian duti kastam dan eksais serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (kecuali bagi sesetengah barangan).
“Operasi FCZ akan bermula pada Mac 2021 dan ini akan menempatkan Pulau Pinang di peta dunia berikutan NBCT berupaya melakukan aktiviti seperti kemudahan pergudangan dan logistik berteknologi tinggi, justeru, menjadi pelopor pertumbuhan ekonomi yang positif di wilayah utara Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
Source:
https://bernama.com/bm/news.php?id=1929583
Back